SEJARAH SKPG


SEJARAH SKPG

SKPG adalah sebuah sekolah yang terletak kira-kira 17 km dr Bandar Chukai, Kemaman dan didirikan atas tanah seluas 3.7 hektar. Pada asalnya, ia mempunyai 4 buah bangunan yang mengandungi 8 buah bilik darjah, sebuah perpustakaan dan sebuah kantin.

SKPG mempunyai sejarah yang tersendiri yang mana ianya bermula  dengan sebuah bangunan asal yang berupa sebuah bangsal kayu sahaja. Ia dibina secara gotong royong pada tahun 1937. Pada tahun 1939 pula dibina bangunan baru bagi menggantikan bangsal tersebut yang diperbuat daripada kayu.

Pada tahun 1939 ini, Sekolah Kebangsaan Pasir Gajah telah didaftarkan. Kemudian, dibina pula sebuah lagi bangunan kayu dengan 2 buah bilik darjah pada tahun 1960. Diikuti pada tahun 1978 telah dibina 2 buah bangunan batu dengan 2 tingkat yang memperuntukkan 7 buah bilik darjah dan blok pentadbiran. Kedua-dua bangunan tersebut telah dirasmikan oleh Y.A.B Menteri Besar Terengganu, Dato’ Hj. Wan Mokhtar Bin Ahmad pada 25 April 1979 bersamaan 29 Jamadilawal 1389.

Suatu fenomena yang jarang kedapatan ialah di tengah-tengah kawasan sekolah, terdapat sebuah alur yang lebarnya 3-5 meter yang mana airnya tidak pernah kering. Oleh yang demikian, sekolah ini sering ditenggelami banjir pada musim tengkujuh (bulan November hingga Disember) selama  seminggu dan mengalami sering dilanda 2 kali banjir. Pernah pada tahun 2004 selama 4 hari sekolah ditutup pada bulan Januari dan pada tahun 2009 selama 3 hari cuti berganti.

Fizikal SKPG telah menempatkan bangunan ICT, kantin baru, Pra Sekolah, dewan ,di samping bangunan warisan yang dijadikan perpustakaan, blok kayu yang telah menempatkan bilik buku teks,bilik tayang,dan stor alatan sukan. Terdapat 2 buah astaka bagi aktiviti  perhimpunan dan di padang dan sebuah surau lama dan kantin lama yang diubahsuai untuk aktiviti luar bilik darjah. Pada tahun 2009 telah dijangka sekolah ini sepatutnya akan menerima bangunan bertingkat.

Sepanjang tempoh itu,beberapa projek pembaikpulih bangunan telah dilakukan akibat keuzuran yang berpunca dari cuaca dan anai-anai.Malah suatu runtuhan sebahagian bumbung bangunan pentadbiran telah berlaku pada 13 Mac 2011.Sehingga kini,projek  pembangunan ini tertangguh kerana keadaan ekonomi negara. Walau bagaimana pun status projek telah dibawa ke RMK 10 masih tidak diketahui.

Latarbelakang ekonomi  ibubapa murid-murid sekolah ini, adalah berpendapatan rendah kerana hampir  90% ibubapa di sini bekerja kampung, penoreh getah, buruh kasar dan petani. 10 % lagi terlibat dengan agensi kerajaan atau swasta kumpulan sokongan. Faktor sumber pendapatan rendah ini banyak mempengaruhi  sekolah untuk mengadakan aktiviti-aktiviti samada kurikulum, kokurikulum mahu pun hal-hal bersangkut paut dengan sahsiah murid.

Namun begitu peranan PIBG membantu dari segi  sumbangan kepada pelajar yang bermasalah kewangan disamping bantuan dari kerajaan seperti RMT, SBT, dan KWAM. Pihak sekolah sentiasa mempunyai aspirasi yang tinggi dan berusaha dengan gigih untuk meletakkan  sekolah berada di tahap ‘duduk sama rendah, berdiri sama tinggi’ dengan sekolah-sekolah lain.

Pihak sekolah telah membuat plan strategik dalam semua bidang pengurusan pendidikan seperti pentadbiran, kurikulum, hal ehwal murid dan kokurikulum. Walaupun berhadapan dengan berbagai kesulitan dan masalah,sokongan oleh semua pihak mengubah ancaman dan kelemahan sebagai peluang dan kekuatan untuk mencapai visi dan misi sekolah.